Friday, October 28, 2011

KPLI vs PISMP





Assalamualaikum. Kemunculan setelah lama menyepi. Banyak perkara perlu diselesaikan melibatkan hubungan dan kebahagiaan hidup. Moga mendapat keberkatan.

Sebelum meneruskan pembacaan di ruangan ini, anda diminta membaca satu blog luahan perasaan dari salah seorang guru pelatih KPLI. Terima kasih atas perkongsian saudari.




Sudah baca? Alhamdulillah. Disini saya tiada langsung niat apa-apa cuma mungkin sekadar perkongsian ilmu dan luahan perasaan seperti individu di atas. Saya guru pelatih PISMP Sem 8 dan bakal menamatkan pembelajaran saya di IPG Kampus Kota Bharu. Saya juga jelas dan faham saudari tersebut juga belajar di IPG dan mengikuti KPLI.


Alhamdulillah kita semua tidak kira PISMP mahupun KPLI masing-masing diterima dan diberi peluang untuk berada di IPG dan masing-masing bakal bergelar seorang pendidik masa hadapan.


Apa yang saya ingin perjelaskan disini adalah pihak IPG dimana-mana kampus pun tidak pernah memanjakan atau bias dalam mengurus guru-guru pelatih sama ada PISMP mahupun KLPI. Semua dilayan sama rata, tiada diskriminasi dan tiada juga keistimewaan. Ini yang saya faham dari penjelasan mana-mana pensyarah. Semua mendapat hak yang sama misalnya :


Elaun : Semua guru pelatih menerima elaun, sedikit atau banyak itu bergantung kepada jangkamasa yang kerajaan telah tetapkan untuk seseorang guru pelatih berada di IPG. Misalnya KLPI jangka masa singkat dan elaun yang diterima tinggi dan berbaloi dengan penat lelah mereka menghabiskan pengajian dalam tempoh yang singkat. dan jika PISMP menuntut 5 tahun setengah / 6 tahun, elaun yang diberi sederhana dan berpadanan dengan jangkamasa pengajiannya. Disini jelas tiada langsung kemanjaan di sebelah pihak dan masing-masing menerima imbuhan. Banyak atau sedikit bukan perkiraannya, dan sekarang kita masing-masing perlu bersyukur pada Allah kerana terpilih untuk berada di IPG berbanding pihak lain yang tidak berpeluang.


Semua guru pelatih mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi tidak kira keluaran KPLI mahupun PISMP. berbezanya adalah dari cara kerja yang ditampilkan di kampus dan sewaktu praktikum. Pengalaman saya, saya pernah berjumpa KPLI yang sangat bagus dan komited dan tidak dinafikan ada saya dapat aduan dari pihak sekolah KPLI ini teruk. Begitu juga PISMP, yang baik dan cemerlang memang ada dan yang teruk juga pun ada. Ini pengalamn yang saya hadapi sendiri sepanjang 5 tahun setengah saya menuntut di IPG dan menjalani praktikum. Perkara ini memberikan pengalaman mendalam dalam hidup saya. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan berdasarkan pengalamn yang dihadapi.


Jelas disini kita sama-sama tidak perlulah menyalahkan ataupun mengaianyai perasaan orang lain dengan kata-kata kita yang kasar. Sebaik-baiknya kita sama-samalah memberi sokongan kerana kita akan menjadi pendidik kepada anak murid kita. Jangan mudah ambil pusing dengan perasaan angkuh yang dibelai syaitan, sememangnya dia laknat dan suka memecah belahkan hati manusia. Apapun disini saya yakin semua guru keluaran PISMP atau KPLI masing-masingnya mempunyai nasib, rezeki dan kekuatan diri yang tersendiri. Atas diri individu itu sendiri untuk membuktikan sama ada mereka keluaran KPLI atau PISMP yang cemerlang. Tonjolkan yang postitif dihadapan mata masyarakat dan janganlah mencalarkan profesion perguruan atas faktor dan isu yang kecil. Ketepikan hal-hal yang tidak mendatangkan faedah, sebaiknya mantapkan diri kita dengan ilmu supaya kelak kita dapat mendidik anak murid dengan ilmu yang bermanfaat.

Kami guru pelatih PISMP sentiasa menghormati senior KPLI dan kami juga berharap senior KPLI juga menghormati kami sebagai guru pelatih PISMP.


Mohon Maaf jika tersilap kata atau bicara. Semoga kita sama-sama menjadi pendidik keluaran IPG yang berkualiti mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh KPM sekaligus menghayati Etika Penjawat Awam serta mengintegritikan diri dengan ikhlas semasa menjalankan ibadah mendidik.


Semua guru KPLI dan PISMP adalah guru yang berkualiti dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. InsyaAllah.


Tips Guru disayangi murid






Nota Penghujung : Apa yang berlaku dalam diri kita pada hari ini adalah dari pengalaman lampau yang sedikit sebanyak mengajar kita erti kehidupan.


8 anak murid kena cubit

Saturday, October 8, 2011

Dunia Kanak-Kanak Autisme





Menurut pengalaman aku sepanjang aku menjalani Praktikum, kanak-kanak Autisme memang wujud di sekolah dan kebiasaanya kita tidak akan perasan masalah ini kecuali kita betul-betul cakna akan perubahan kanak-kanak tersebut. Biasanya boleh tengok dari cara dia berkomunikasi dan tingkah lakunya.


Autisme adalah salah satu jenis ketidakupayaan yang dimilki oleh kanak-kanak Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Kebiasaanya kanak-kanak ini mempunyai sikap aneh dan sukar diramal. Misalnya apabila kanak-kanak ini terlalu suka atau fanatik dengan sesuatu dan ia menjadi rutin hariannya, apabila kita cuba unahnya atau cuba hilangkan perkara tersebut dalam rutinnya, dia akan mengamuk dan akan agresif di luar jangkaan kita. Contoh lebih dekat seperti Amin kanak-kanak Autisme sangat suka bermain tisu. Jumpa lah tisu dimana-mana dia akan belek, usap, pintal-pintal dan akan terus bermain dengan tisu tersebut tanpa menghiraukan orang disekelilingnya seolah-olah dia dengan dunianya. Jika kita perhatikan ada juga kanak-kanak normal akan suka bermain tisu, tetapi kanak-kanak autisme ini lebih kepada terlalu taksud dan dia berada dalam dunianya. Ketawa dengan sendirinya, menangis dan sebagainya. Tetapi mereka bukan kanak-kanak yang boleh sebarangan dicop sebagai 'mental', mereka kanak-kanak bijak dan cuma menghadapi sedikit ketidaupayaan sahaja dan ia boleh dipulihkan dengan teknik dan kaedah yang berkesan.




Gambar menunjukkan antara ciri-ciri kanak-kanak Autisme


Faktor apa yang boleh menyebabkan seorang kanak-kanak itu Autisme?

  • Autisme berlaku tanpa mengira sempadan etnik, masyarakat, status sosial ekonomi, latar belakang pendidikan dan gaya hidup.
  • Tiada punca sebenar kenapa ia berlaku.
  • Empat kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding perempuan.



Jom baca Kisah Ibu Bapa yang Tabah berdepan dengan anak Autisme :





BUDAK lelaki itu sememangnya comel. Berkulit cerah, rambut nipis keperangan dengan mengenakan baju Melayu biru biji kundang, menyerlahkan lagi sisi bergaya dalam dirinya.

Gelagatnya juga menghiburkan sesiapa saja yang melihatnya. Bibirnya pula sentiasa menguntum senyuman. Segala-galanya tampak sempurna seperti anak sebaya usianya.

Tetapi, apabila lensa jurufoto New Straits Times Press (NSTP), Saifulizan Tamadi, tiba-tiba terjatuh, di depannya ketika ingin merakam gambar bersama ibunya, ramai mata berpaling ke arahnya kerana, dia tiba-tiba tergelak besar tanpa henti.


“Ammar memang macam inilah, dia akan ketawa biarpun sesuatu perkara itu tidak melucukan. Itulah ‘tanda’ normal kanak-kanak autisme,” kata ibunya, Nuraihan Hamsiah Abdul Salam, 33, memberikan penerangan ‘perbezaan nyata’ ditunjukkan anaknya itu.


Muhammad Ammar Lutfi Muhammad Yusri, 6, antara satu dalam ribuan komuniti autisme di dunia ini. Ia bukanlah jenis kecacatan luar biasa, apabila statistik menunjukkan seorang daripada setiap 150 kanak-kanak yang lahir mempunyai autisme tipikal. Bilangan kanak-kanak autisme juga dilaporkan meningkat 30 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.


Namun, Ammar dikira amat bertuah kerana ibu dan ayahnya, Muhammad Yusri Adam, 34, cepat mengenal pasti dia mengidap autisme seawal usia tiga tahun, lantas mengambil jalan bijak, menghantarnya ke kelas khas memperbaiki kekurangan dirinya.

Lantaran kini, kemampuan Ammar juga membanggakan, pada usia sebegitu, dia mampu menguruskan diri dengan baik termasuk ke bilik air dan memakai pakaian tanpa dibantu. Pertuturannya juga semakin difahami.


“Sebelum ini, Ammar mudah marah dan naik angin apabila keinginan diri tidak dipenuhi. Dia tidak bercakap sebaliknya mengeluarkan bunyi seperti em..em..jadi bagaimana kita nak faham? Mulalah dia akan marah.


“Tetapi hari ini, Alhamdulillah, dia semakin ok dan tidak mudah marah lagi. Apabila ingin makan dan minta sesuatu, dia boleh sampaikan dengan baik kepada kami. Kalau ingin ke bilik air, sudah pandai lakukan sendiri dan faham bagaimana untuk membuang najis. Sebelum ini memang payah nak suruh dia duduk atas mangkuk tandas sebab tidak suka dengan ‘proses’ berkenaan. Hari ini segala-galanya lebih mudah untuk Ammar dan saya,” katanya yang nyata begitu sabar melayani si kecil.


Autisme ialah kekurangan yang menjejaskan proses komunikasi dan pembelajaran seseorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun, jika dikesan awal, pembabitan keluarga dan kaedah pendidikan sesuai, masalah anak autisme boleh diuruskan dengan baik.


Nuraihan berkata, Ammar kini belajar di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Setia Alam, Klang, selain turut mengikuti kelas terapi pengucapan secara berkala.

Berkongsi kisah, Nuraihan berkata, beliau menetap lama di Jepun mengikut suaminya berkhidmat di sana dan mula mengesan kekurangan anaknya ketika berada di negara terbabit.


“Pada usianya tiga tahun, dia lambat bercakap. Tapi ketika itu kami sangka ia biasa bagi kanak-kanak lelaki.


Percampuran bahasa antara Melayu, Inggeris dan Jepun juga memungkinkan dia keliru, itu fikir saya.

“Tapi yang saya amat perasan, bila bermain sesuatu, dia suka menyusun. Blok mainan atau duit syiling, biasanya budak-budak sebayanya suka membentuknya menjadi objek tertentu atau disepah saja, tetapi dia sebaliknya. Dia akan susun menjadi cantik. Tidak kiralah secara memanjang atau bagaimana bentuknya yang pasti susunan itu tampak amat sempurna untuk kanak-kanak kecil pada usia dua atau tiga tahun. Saya pernah cuba alihkan susunan yang dilakukannya itu, tetapi akan marah teramat sangat.


“Kalau anak lain tidak kisah mainan atau pensel warnanya hilang, Ammar pula akan menunjukkan susunan dalam kotak warna, pensel yang hilang itu tanpa henti dalam emosi marah dan amat serius. Malah jika mainan hilang atau rosak seperti roda kereta tidak berfungsi, ia melihatnya sebagai suatu yang serius. Mungkin orang lain, melihat aksinya itu sebagai sesuatu yang menghiburkan, tetapi tidak bagi kami. Kami sedih serta tertekan dengan perbuatannya itu,” katanya.


Memasuki ‘playschool’ di Jepun dengan keadaan semua kanak-kanak mendengar arahan guru, seperti beratur, bermain baik-baik dengan rakan, Ammar sebaliknya dicop ‘nakal’ bila dia enggan mengikut aturan diberikan.


“Pernah Ammar main sorok-sorok dengan kawannya, tetapi apabila kawannya menyorok dan lari daripada dirinya, dia menangis dan menyangkakan kawannya tidak mahu bermain dengannya. Melihatkan dirinya yang berbeza itulah yang menguatkan semangat saya dan suami untuk mencari jalan menghantarnya ke kelas khas.


“Di Jepun yuran ke sekolah khas sangat mahal. Satu sesi kira-kira RM300. Justeru, kami memutuskan untuk kembali ke ibu kota kerana yuran dikenakan NASOM masih dalam kemampuan kami. Kami amat gembira dengan perubahan serta perkembangan dilalui Ammar,” katanya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Ammar. Walaupun terpaksa berhenti kerja, beliau reda demi kebaikan permata hatinya itu.


Selain kelas, Ammar memerlukan perhatian penuh ibunya termasuk dibacakan buku cerita atau ‘dilawan’ cakap supaya aspek komunikasinya cepat berkembang. Ammar suka melukis dan gemar menunjukkan lukisan berwarna-warni hasil nukilannya, bertemakan keluarga bahagia.


Bagi Nuraihan, setiap ibu bapa perlu peka dengan perubahan dihadapi anaknya dan jika guru atau orang sekeliling mengatakan anak autisme nakal atau degil, ibu bapa tidak seharusnya cepat melatah.

Kerjasama dengan guru atau berusaha sendiri untuk merujuk anak ke pakar kanak-kanak kerana dengan usaha sedemikian saja dapat mengesan kekurangan di hadapi mereka.


“Autisme adalah kekurangan berpanjangan, justeru, dapatkan bantuan supaya si kecil dapat hidup lebih sempurna dan tidak janggal di mata orang lain. Hakikatnya tanggungjawab membesarkan anak autisme memang amat mencabar serta banyakkan sabar dengan kerenah si kecil.


“Walaupun kawan dan keluarga mungkin cuba menyokong, tetapi mereka tidak dapat memahami kesukaran dalam membesarkan anak autisme. Orang ramai boleh mengkritik ibu bapa saja dan dan segala-gala keperitan itu ditanggung sendiri,” katanya meluahkan rasa dan tidak pernah lupa berdoa ketika bersolat supaya terus diberi kekuatan.


Nasihat beliau, kanak-kanak seperti ini kadangkala garang tidak bertempat. Justeru, ibu perlu memahami dan tidak malu menerangkan orang ramai mengenai anak autisme kerana dengan membuka mulut dan memberitahu orang ramai mengenai keadaan anak, boleh mendidik mereka mengenai autisme.


“Mereka juga sebetulnya memerlukan sokongan. Ibu bapa tidak seharusnya melihat mereka sebagai ‘berbeza’ kerana mereka sebenarnya istimewa. Menyertai persatuan berkaitan autisme juga antara cara terbaik mendekati, memahami atau berkongsi pengalaman dengan ibu bapa yang mempunyai anak berkenaan,” katanya.


Petikan dari Berita Harian (4 Oktober 2011)


Nota Hujung :

Jika ada dikalangan ahli keluarga atau rakan-rakan yang menghidapi Aiutisme, sokong dan bimbinglah mereka dengan penih sabar. Jangan sesekali memperlekehkan mereka, kelak diakhirat kamu yang diperlekehkan. Kerana kanak-kanak istimewa sudah dijanjikan syurga, sementara kita pula? Tidak tahu penghujungnya. Jadi, berbuat baiklah kepada mereka yang kurang upaya.



Categories , 4 anak murid kena cubit

Wednesday, October 5, 2011

Nadi Guru adalah Murid




Menjadi guru bukan perkara mudah.dan ia tidak mudah pabila cikgu berkerja keras dalam memahami ilmu pedagogi sekaligus mengaplikasikan pada anak murid.

Guru yang cakna akan perkembangan muridnya semestinya berusaha keras membina BBM. Nama panjangnya bahan bantu mengajar. Mesti guna duit yg banyak ye tak? Apa salahnya korban sedikit wang demi pertingktkan perkembangan potensi murid.lebih-lebih lagi kanak-kanak istimewa. Ok,Macam mana nak bina BBM? Boleh cuba tengok di internet atau kita libatkan diri dengan pameran inovasi menghasilkan bbm.

Baru-baru ni IPG aku ada anjurkan pameran tersebut.aku pun ambil peluang utk lihat dan cuba aplikasi bila bergelar guru kelak.Jom tengok BBM yg ada sepanjang pameran tersebut :-

Ok, itu sahaja untuk perkongsian kali ini. Semoga berjumpa lagi dan selamat berjuang membuat BBm yang menginovasikan pembelajaran anda...


Published with Blogger-droid v1.7.4


Categories 5 anak murid kena cubit

Monday, October 3, 2011

Kisah Cinta Pohon Epal






Suatu ketika, hiduplah sebatang pohon epal besar dan kanak-kanak lelaki yang suka bermain-main di bawah pohon epal itu setiap hari.

Kanak-kanak itu suka memanjatnya hingga ke pucuk pohon, memakan buahnya, tidur dibawah keteduhan rendang daun-daunnya.

Kanak-kanak lelaki itu sangat sayangkan pohon epal itu.

Demikian juga pohon epal sangat sayang kepada kanak-kanak kecil itu.

Waktu terus berlalu.

Kanak-kanak lelaki itu kini telah dewasa dan tidak lagi bermain-main dengan pohon epal itu setiap hari, seperti kebiasaannya.

Suatu hari dia mendatangi pohon epal itu.

Wajahnya nampak sedih.

“Mari ke sini bermain-main lagi denganku” kata pohon epal itu.

Aku bukan anak kecil yang bermain-main dengan pohon lagi” jawab kanak-kanak lelaki itu.

“Aku ingin sekali memiliki mainan, tetapi aku tiada wang untuk membelinya.”

Pohon epal itu menyahut, “Erm, maaf aku pun tiada wang.. Tetapi kamu boleh mengambil semua buahku dan menjualnya. Kamu boleh mendapatkan wang untuk membeli mainan idamanmu” . Kanak-kanak lelaki itu sangat gembira. Dia memetik semua buah epal yang ada di pohon dan pergi dengan penuh suka cita.

Namun, setelah itu kanak-kanak lelaki itu tak pernah datang lagi. Pohon epal itu kembali sedih.

Suatu hari kanak-kanak lelaki itu datang lagi.

Pohon epal sangat gembira melihatnya datang.

“Mari bermain-main denganku lagi” kata pohon epal.

“Aku tiada waktu” jawab kanak-kanak lelaki itu.

“Aku harus bekerja untuk keluargaku. Kami memerlukan rumah untuk tempat tinggal. Mahukah kau menolongku?”

“Maaf aku pun tidak memiliki rumah. Tetapi kamu boleh menebang semua dahan rantingku untuk membina rumahmu” kata pohon epal itu.

Kemudian anak lelaki itu menebang semua dahan dan ranting pohon epal itu dan pergi dengan gembira.

Pohon epal itu juga merasa bahagia melihat anak lelaki itu gembira. Tetapi anak lelaki itu tak pernah kembali lagi.

Pohon epal itu sekali lagi merasa kesepian dan sedih.

Pada suatu musim panas, anak lelaki itu datang lagi.

Pohon epal merasa sangat gembira menyambutnya.

“Jom bermain-main lagi denganku” kata pohon epal.

“Aku sedih” kata anak lelaki itu.

“Aku sudah tua dan ingin hidup tenang. Aku ingin pergi bersiar-siar dan berlayar. Mahukah kamu memberikan aku sebuah kapal?”

“Maaf aku tidak mempunyai kapal, tetapi kamu boleh memotong batang tubuhku dan menggunakannya untuk membuat kapal yang kau mahu. Pergilah berlayar dan bersenang-senanglah “

Kemudian, anak lelaki itu memotong batang pohon epal itu dan membuat kapal yang diidamkannya.

Dia pun pergi berlayar dan tidak pernah lagi datang menemui pohon epal itu.

Akhirnya, anak lelaki itu kembali setelah bertahun-tahun kemudian.

“Maaf anakku” kata pohon epal itu.

“Aku sudah tidak memiliki buah epal lagi untukmu.”

“Tak apa. Aku pun sudah tidak memiliki gigi untuk mengigit buah epalmu”jawab anak lelaki itu.

Aku juga tidak memiliki batang dan dahan yang boleh kau panjat” kata pohon epal.

“Sekarang, aku sudah terlalu tua untuk itu semua” jawab anak lelaki itu.

“Aku benar-benar tidak memiliki apa-apa lagi yang dapat aku berikan padamu. Yang tinggal hanyalah akar-akarku yang sudah tua dan sekerat ini” kata pohon epal itu sambil menitikkan air mata.

“Aku tidak memerlukan apa-apa lagi sekarang” kata anak lelaki itu.

“Aku hanya memerlukan tempat untuk berehat. Aku sangat penat setelah sekian lama meninggalkanmu”

“Oooh, bagus sekali. Tahukah kamu, akar-akar pohon tua adalah tempat terbaik untuk berbaring dan beristirehat. Mari, marilah berbaring di pelukan akar-akarku dan berehatlah dengan tenang.”

Anak lelaki itu berbaring di pelukan akar-akar pohon.

Pohon epal itu sangat gembira dan tersenyum sambil menitiskan air matanya.




Apa yang dapat kita ambil dari cerita tersebut adalah ini adalah tentang cerita kita semua


Pohon epal itu adalah ibu bapa kita.

Ketika kita muda, kita senang bermain-main dengan ayah dan ibu kita.

Ketika kita semakin besar, kita meninggalkan mereka (seperti sekolah yang jauh dan universiti), dan hanya datang ketika kita memerlukan sesuatu atau dalam kesulitan.

Tidak peduli apa-apa pun, ibubapa kita akan selalu ada untuk memberikan apa yang dapat mereka berikan untuk membuat kita bahagia.

Kita mungkin berfikir bahawa anak lelaki itu telah bertindak sangat kasar terhadap pohon itu,

Tetapi kadangkala tanpa kita sedari begitulah sikap kita terhadap orang tua kita.

Orang inilah yang setiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya.

Orang inilah, rela melakukan apa sahaja asal perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.

Sekarang, lihatlah ayah dan ibu anda ketika sedang tidur. Bagaimana jika saat kita jauh tidak disampingnya, kita tak dapat lagi melihatnya kerana mereka sudah tidur untuk selamanya.

Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengingat

Betapa banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan mereka ini untuk kebahagiaan anda.

Cintailah mereka kita, dengan sebenar-benarnya cinta

Ucapkan pada ibubapa kita sekarang, betapa kita mencintainya; dan berterima kasih atas seluruh hidup yang telah dan akan diberikannya pada kita.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika esok hari mereka “orang-orang dikasihi itu” tidak lagi membuka matanya, selamanya..




Aduhai ayah, ibu… terima kasih engkaulah pelita dalam hatiku..

Ya Allah Ya Ghaffar

Tak kuasa lagi aku merangkai kata ini…

Dan hanya permohonan dari lubuk hatiku yang penuh noda dan dosa dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu Kasihanilah aku dan kedua orang tuaku…

Demi RahmatMu yang mendahului murkaMu, daku bermohon, ampunilah dosa kedua orang tuaku

Duhai Zat yang selalu mendengarkan jeritan inilah daku yang merendahkan diri dihadapanMu.

Amin




sumber : KLIK SINI




0 anak murid kena cubit
 

dunia.ku.dunia.cikgu Copyright © 2010 Designed by CikMas